Salam Ma’al Hijrah 1433

Salam Maal Hijrah 1433 kepada semua anak kariah Muslimin dan Muslimat. Kita berada diambang Tahun Baru Kalender Islam. Semoga apa yang kita lakukan Selama ini diberkati hendaknya. Sama-samalah kita berdoa agar kita dilindungi oleh Cahaya Keimanan dariNYA. Dengan tema “Persefahaman Asas Perpaduan Ummah” semoga di tahun baru ini kita lebih diberkati dan dirahmati Allah. Pengerusi dan AJK STR

Ahad, 29 Januari 2012

SIRI CERAMAH UMUM STR 2012


CERAMAH UMUM 1/2012   HUKUM FARAID
TARIKH:
20 JANUARI 2012
MASA:
SELEPAS SOLAT MAGRIB
TEMPAT:
SURAU TAMAN RAMAL, KAJANG
PENCERAMAH:
Dr. RAZIF BIN HJ. IBRAHIM
TAJUK:
HUKUM FARAID (HARTA PUSAKA)
SEMUA MUSLIMIN/MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR
AJK STR


CERAMAH UMUM 2/2012   
TARIKH:
29 JANUARI 2012
MASA:
SELEPAS SOLAT MAGRIB
TEMPAT:
SURAU TAMAN RAMAL, KAJANG
PENCERAMAH:
UST. AZMAN BIN SHAPAWI (PENCERAMAH BEBAS)
TAJUK:
BEBAS
SEMUA MUSLIMIN/MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR
AJK STR

Khamis, 26 Januari 2012

Renungan 11 (Salam Jumaat)


Sedekah tambah rezeki

APA perasaan anda, seandainya ketika sedang makan di kedai atau di warung tiba-tiba datang orang meminta sedekah menghampiri anda.
Dia meminta duit derma daripada anda tetapi badannya sihat sambil dipimpin seseorang sambil menadah tangan.
Anda sedekah atau tidak kepadanya? Kalau anda beri duit kepadanya sama ada ikhlas atau pun sebab malu pada orang di sekeliling yang melihat anda? Selepas anda menderma apakah perasaan anda? Seronok atau berasa rugi?

Kalau berasa menyesal itu memang kedekut jawabnya. Alhamdulillah orang kita suka menderma, suka membantu dan menolong, mungkin kerana roh iman dan Islam yang menyala di dalam hati dan sanubari.

Ia menjadi pendorong utama ditambah pula dengan sikap orang Melayu yang memang lembut hati. Hulurkan derma janganlah terlalu berkira sangat.

Tidak miskin pun jika kita beri sedikit pemberian itu dan tidak kaya mana pun mereka dengan yang dapat duit derma kita. Sebenarnya orang kaya ialah orang yang suka memberi.

Allah Maha Kaya dan Maha Pemberi. Rasulullah pernah berhutang kerana mahu memberi.

Siapa sebenarnya yang dikatakan fakir miskin itu supaya derma kita itu betul-betul disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Fakir dan miskin adalah orang yang tidak memiliki apa yang cukup untuk belanja seharian misalnya mereka tidak memiliki beras, lauk dan keperluan asas yang lain.

Mungkin mereka ada pekerjaan tetapi pendapatan mereka tidak mencukupi, kos sara hidupnya dan bebanan keluarga, sebagaimana firman Allah: “Adapun bahtera itu kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut, dan Aku bertujuan merosakkan bahtera itu, Kerana di hadapan mereka ada seorang raja yang merampas tiap-tiap bahtera.” (Surah Al-Kahfi ayat 76)

Pada ayat di atas mereka disifatkan dengan sifat miskin, padahal mereka memiliki perahu besar dan memperoleh pendapatan sebagaimana sabda Rasulullah ketika ditanya orang miskin, Baginda menjawab: “Orang miskin bukanlah orang yang berkeliling meminta-minta, lalu diberi sesuap atau dua suap, satu buah kurma atau dua buah, tapi orang miskin adalah orang yang tidak cukup apa yang dia dapat daripada pekerjaannya untuk menyara keluarga.”

Zaman sekarang ada satu nama lagi iaitu peminta sedekah atau pengemis.
Terkadang mereka masih ketagih untuk makan hasil dari meminta dan menadah tangan.

Kalau sudah cukup duit daripada meminta sepatutnya mereka berhenti meminta tetapi kerana sudah ketagih, mereka akan terus meminta, orang sebegini sudah termasuk dalam kategori mereka yang memiskinkan diri sendiri.

Sebahagian daripada peminta sedekah sebenarnya lebih memerlukan derma dalam bentuk nasihat dan pemulihan mental.

Mereka perlu dididik dan disedarkan bahawa tangan di atas, jauh lebih baik dari pada tangan di bawah.

Setengah kadang-kadang menjadi keliru kepada peminta sedekah sama ada hendak beri atau tidak.

Kalau kita terus memberi nanti mereka ketagih meminta sehingga langsung tak nak berusaha sebab lagi seronok meminta tanpa bekerja.

Kalau tidak beri kasihan juga kalau yang meminta itu memang sangat-sangat memerlukan.

Sebab itu kita perlu memilih kepada siapa kita perlu berinfaq dengan tujuan untuk membantu dan kepada siapa kita perlu berkata maaf dengan tidak memberi mereka wang bukan kerana membenci, tetapi itulah salah satu cara kita mendidik mereka dan agar mereka berfikir dengan bijak.

Bagaimanapun penderma tetap dalam perhatian Allah dengan ganjaran yang istimewa. Percayalah jangan sekali menyesal dengan derma anda sebab banyak sekali hikmah di sebalik pemberian itu.

Antaranya hikmah derma ialah melembutkan hati. Jika hati sudah lembut, mudah untuk seseorang memaafkan orang dan mudah memohon maghfirah selepas melakukan kesalahan, sama ada kecil atau besar.

Kedua, seseorang, apabila menderma dan orang yang menerima derma pula seseorang yang betul-betul memerlukan bantuan insya-Allah, penerima derma itu pasti berdoa supaya penderma dikurniakan rezeki dan keampunan Allah.

Kesan berganda itu disebutkan dalam al-Quran, seperti ayat 261 dan ayat 265 Surah Al-Baqarah: “Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji.”

Manakala dalam ayat 265 surah sama maksudnya: “Dan perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya untuk mencari reda Allah, dan untuk memperteguhkan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buah-buahan dua kali lipat (ganda). Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka embun (pun memadai). Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan

Sumber: mymetro-tazkirah-ust mohd zawawi yusoh

Selasa, 24 Januari 2012

Renungan 10


Assalamualaikum w.b.t…

Kelebihan Orang Yang Sering Berzikir Kepada Allah:

a. Mendapat keredhaan Allah dan memperolehi ketenangan pada hati serta dapat merasakan kelazatan di dalam jiwa.

b. Menimbulkan kejernihan, kemanisan pada hati dan wajah.

c. Mendapat kasih sayang, kecintaan serta keampunan dari Allah serta dimurahkan rezeki.

d. Dapat merasakan betapa besar, agung, hebat dan berkuasanya kerajaan Allah.

e. Segera mendapat pembelaan dari Allah apabila seseorang itu berada dalam kesusahan dan kedukaan.

f. Mendapat kehormatan dan doa dari sekalian malaikat.

g. Memperolehi pohon tamar di dalam syurga kelak, semakin banyak dia berzikir maka semakin banyaklah pohon tamar itu untuknya.

h. Mendapat Nur dari Allah dalam kehidupan di dunia ini, di alam barzakh dan titisan sirat nanti.

i. Dapat membina rumah dan juga istana di dalam syurga. apabila kita berhenti berzikir maka berhentilah pembinaannya di syurga.

j. Menjadi pendinding dan perisai dari neraka jahanam.
Allah Yang Maha Besar selalu mengingatkan kita di dalam kitab-Nya Al-Quran Al-Karim supaya berzikirillah seperti berikut:
“Dan sebutlah nama Tuhanmu pada waktu pagi dan petang, dan pada sebahagian dari malam, maka sujudlah kepadaNya dan bertasbihlah kepadaNya pada bahagian yang panjang di malam hari.”  Surah 76: Al Insan, Ayat 25 & 26
“Dan sebutlah nama Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak meninggikan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.”    Surah 7: Al A’raf,  Ayat 205
“Orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” Surah 3: Al Imran Ayat 191
“Sesungguhnya Aku lah Allah, tidak ada Tuhan selainKu, maka sembahlah Aku dan dirikanlah salat untuk mengingati Aku.”   Surah 20 Ta Ha Ayat 14
“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut nama Allah.” Surah 33: Al Ahzab Ayat 21
Dari Bukhari, Muslim, Tirmidhi dan Ibn Majah, diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman: Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hambaKu terhadapKu. Aku bersamanya ketika dia mengingatiKu. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diriKu. Apabila dia mengingatiKu di majlis, nescaya Aku juga akan mengingatinya di dalam suatu majlis yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekatiKu dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekatiKu sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepadaKu dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya seperti berlari-lari anak.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah s.w.t Yang Maha Memberkati lagi Maha Tinggi memiliki para Malaikat yang mempunyai kelebihan yang diberikan oleh Allah s.w.t. Para Malaikat selalu mengelilingi bumi. Para Malaikat sentiasa memerhati majlis-majlis zikir. Apabila mereka dapati ada satu majlis yang dipenuhi dengan zikir, mereka turut mengikuti majlis tersebut di mana mereka akan melingkunginya dengan sayap-sayap mereka sehinggalah memenuhi ruangan antara orang yang menghadiri majlis zikir tersebut dan langit. Apabila orang ramai yang hadir dalam majlis tersebut beredar, para malikat naik ke langit. 




Renungan 9


   السلام عليكم ورحمة الله وبركاته    

CARA RASULULLAH S.A.W MENJAGA KESIHATAN DIRI

SELALU BANGUN SEBELUM SUBUH

Rasulullah mengajak umatnya untuk bangun sebelum Subuh bagi melaksanakan solat sunat, solat fardu dan solat Subuh secara berjemaah.

Hal ini memberi hikmah yang mendalam antaranya mendapat limpahan pahala, kesegaran udara subuh yang baik terutama untuk merawat penyakit tibi serta memperkuatkan akal fikiran.

AKTIF MENJAGA KEBERSIHAN

Rasulullah sentiasa bersih dan rapi. Setiap Khamis atau Jumaat, Baginda mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku, bersikat serta memakai minyak wangi.

“Mandi pada hari Jumaat adalah sangat dituntut bagi setiap orang dewasa. Demikian pula menggosok gigi dan pemakai harum-haruman.” (Hadis riwayat Muslim)

TIDAK PERNAH MAKAN BERLEBIHAN

Sabda Rasulullah w yang bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak sampai kekenyangan).” (Muttafaq Alaih)

Dalam tubuh manusia ada tiga ruang untuk tiga benda: Sepertiga untuk udara, sepertiga untuk air dan sepertiga lainnya untuk makanan.

Bahkan ada satu pendidikan khusus bagi umat Islam iaitu dengan berpuasa pada Ramadan bagi menyeimbangkan kesihatan selain Nabi selalu berpuasa sunat.

GEMAR BERJALAN KAKI

Rasulullah berjalan kaki ke masjid, pasar, medan jihad dan mengunjungi rumah sahabat. Apabila berjalan kaki, peluh pasti mengalir, roma terbuka dan peredaran darah berjalan lancar.

Ini penting untuk mencegah penyakit jantung. Berbanding kita sekarang yang lebih selesa menaiki kenderaan. Kalau mahu meletakkan kenderaan, mesti letak betul-betul di hadapan tempat yang hendak kita pergi.

TIDAK PEMARAH

Nasihat Rasulullah ‘jangan marah’ diulangi sampai tiga kali. Ini menunjukkan hakikat kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasad, tetapi lebih kepada kebersihan jiwa.

Ada terapi yang tepat untuk menahan perasaan marah iaitu dengan mengubah posisi ketika marah, bila berdiri maka hendaklah kita duduk dan apabila sedang duduk, maka perlu berbaring.

Kemudian membaca Ta’awwudz kerana marah itu daripada syaitan, segera mengambil wuduk dan solat dua rakaat bagi mendapat ketenangan serta menghilang kan gundah di hati.

OPTIMIS DAN TIDAK PUTUS ASA

Sikap optimis memberikan kesan emosional yang mendalam bagi kelapangan jiwa selain perlu banyakkan sabar, istiqamah, bekerja keras serta tawakal kepada Allah s.w.t.

TIDAK PERNAH IRI HATI

Bagi menjaga kestabilan hati dan kesihatan jiwa, semestinya kita perlu menjauhi daripada sifat iri hati. “Ya Allah, bersihkanlah hatiku dari sifat-sifat mazmumah dan hiasilah diriku dengan sifat-sifat mahmudah.”

PEMAAF

Pemaaf adalah sifat yang sangat dituntut bagi mendapatkan ketenteraman hati dan jiwa. Memaafkan orang lain membebaskan diri kita daripada dibelenggu rasa kemarahan.

Sekiranya kita marah, maka marah itu melekat pada hati. Justeru, jadilah seorang yang pemaaf kerana yang pasti badan sihat.

"BAHAGIA sebenarnya bukan MENDAPAT tetapi dengan MEMBERI. Sebenarnya, banyak lagi cara hidup sihat rasulullah.. semoga hati kita semakin dekat dengan Nabi yang amat kita rindukan pertemuan dengannya.."-)

Sumber: Oleh Ustaz Zawawi Yusof




Renungan 8


Berhijrah Bukan Sekadar Laungan

Umat Islam perlu berubah menuju matlamat disasar, raih kecemerlangan
HIJRAH membawa pelbagai pengertian. Daripada pandangan lahiriah, hijrah akan terasa setiap kali diadakan sambutan Maal Hijrah dan program tertentu sempena menyambut Tahun Baru Hijrah. Dari sudut rohaniah, hijrah sebenarnya hanya dirasai individu yang benar-benar melakukan hijrah, iaitu melakukan perubahan dalam diri yang menjadi titik peralihan atau perubahan ke arah yang lebih baik.

Pendek kata hijrah menjadi penanda aras prestasi perjalanan hidup individu dari tahun ke tahun yang berikutnya. Justeru, kehidupan pastinya akan lebih meningkat dan berjaya. Begitulah sebaliknya. Pepatah Melayu ada menyebut, 'Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.'

Allah SWT juga berfirman yang maksudnya: 'Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri' (Surah ar- Ra'd: 11)

Dalam konteks pembinaan ummah, roh hijrah adalah suatu keutamaan. Tamadun Islam tidak dapat dibina semula hanya bersandarkan slogan indah atau retorik manis semata-mata, sebaliknya ia menuntut satu jihad, pengorbanan, kesungguhan dan komitmen jitu untuk menjulang panji Islam ke persada dunia.

Pengajaran paling penting di sini ialah kejayaan dan kemenangan itu sebenarnya tidak akan datang dengan sendiri melainkan dipengaruhi banyak sebab yang memudahkan seseorang itu meraih kejayaan diimpikan sama ada kekuatan ekonomi, keutuhan sosial dan keadilan politik.

Semua faktor itu adalah antara prasyarat dan persediaan penting serta memberi pengaruh menentukan kemenangan atau kegagalan sesuatu bangsa dalam pelbagai bidang. Lanjutan daripada itu, umat Islam sewajarnya memahami erti kehidupan di dunia ini yang sarat dengan perjuangan dan pertarungan sengit.

Justeru, menghayati roh hijrah memerlukan kita menongkah arus dan cabaran hidup seperti berikut:

Sebagai Muslim kita digalakkan menuntut apa saja ilmu yang baik dan tidak menyalahi hukum syarak serta boleh memberi manfaat kepada manusia seperti hadis Nabi SAW yang bermaksud: 'Sesiapa yang berkehendakkan dunia hendaklah dengan ilmu, sesiapa berkehendakkan akhirat hendaklah dengan ilmu dan sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya sekali hendaklah dengan ilmu.'

Masyarakat berilmu akan bijak menilai sesuatu perkara, peka dengan setiap keadaan, faham dengan setiap keperluan untuk berubah dan berani melakukan perubahan walaupun hanya dengan sedikit cetusan idea. Mereka tidak mudah ditipu atau dipengaruhi kerana mereka adalah masyarakat berpengetahuan dan bermaklumat.

Masalah yang timbul pada zaman mutakhir ini banyak berpunca daripada ketidakfahaman mengenai agama (jahil). Perkara khurafat dan tahyul masih berleluasa bahkan menjadi semakin popular semula dalam masyarakat.

Pergantungan kepada Allah amat rapuh hingga mereka tidak yakin dengan janji Allah dan terus mencari jalan pintas untuk mencapai matlamat hidup. Seharusnya sebagai Muslim kita harus berkeyakinan bahawa kemenangan dan kegagalan adalah sebahagian daripada peraturan Allah SWT dan Dialah yang menentukan segala-galanya.

Justeru, dalam apa juga matlamat, kita harus berusaha untuk mendapatkannya dengan jalan dan cara halal di samping berdoa memohon keredaan daripada Allah SWT.

Cabaran dalam bertindak (akhlak dan amal) – Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 'Tiada seorang Nabi pun di kalangan mereka yang diutuskan kepada umat sebelumku melainkan mereka mempunyai pengikut dan sahabat yang mengikut sunahnya dan meneladaninya.

Kemudian akan ada generasi selepasnya, yang mengatakan sesuatu yang mereka tidak lakukan serta melakukan apa yang tidak disuruh. Sesiapa yang menentang mereka dengan tangannya bermakna dia adalah seorang yang beriman, sesiapa yang menentang mereka dengan lidahnya maka dia adalah beriman dan sesiapa yang menentang dengan hatinya, maka dia adalah seorang yang beriman. Tidak ada yang selain daripada itu keimanan padanya walau sebesar sebiji sawi.' (Muslim)

Pada era moden ini kita semakin menghadapi cabaran berat untuk berubah sama ada untuk menyedarkan diri kita sendiri atau menyedarkan masyarakat sekeliling agar kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.

Justeru, kita perlu berani mencuba dalam usaha menjadi ummah cemerlang, gemilang dan terbilang. Bukankah penghijrahan itu adalah satu kesanggupan untuk membuat perubahan dalam kehidupan bagi mengatasi masalah dan mencari kejayaan bagi sesuatu usaha dilakukan?

Sekiranya Rasulullah SAW sanggup menghadapi cabaran dan bahaya yang besar, melintasi padang pasir yang luas dengan ancaman musuh Islam, apakah kita selaku umat Islam hari ini harus semata-mata berdoa tanpa berusaha memperbaiki masyarakat kita melalui penghijrahan?

Maka dalam mengisi keperluan hijrah, janganlah kita keciciran dalam tiga aspek terpenting dalam hidup iaitu memperbaiki aqidah, akhlak, amal dan ilmu bagi mencapai taraf hidup lebih baik serta diredai Allah.

Dengan perkataan lain, hijrah adalah tuntutan agama yang menghendaki manusia supaya berpindah daripada belenggu jahiliah kepada Islam, kemunduran kepada kemajuan, hidup berpuak dan bermusuhan kepada hidup bersaudara dan bersatu padu.

Menjadikan 'Islam is the way of life'. Ini selaras dengan hadis Rasulullah SAW daripada Abdullah bin Habsyi yang bermaksud: 'Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah.'

Baginda juga bersabda yang bermaksud: 'Yang dinamakan orang Muslim ialah bila mana orang lain selamat daripada gangguan lidah dan tangannya, dan dinamakan mukmin ialah bila mana orang lain dibuat berasa aman atas darah (nyawa) dan hartanya.' (an-Nasa'i)

Masa beredar zaman bertukar, suasana berubah. Tahun Baru Hijrah datang dan pergi namun ia tidak akan memberi sebarang kesan kepada kita sekiranya kita sendiri tidak dapat menghayati roh hijrah itu dan tuntutannya dalam kehidupan.

Semuanya akan menjadi tawar. Roh sudah meninggalkan jasad menjadikan jiwa kita kaku dan mati tanpa semangat untuk berubah. Tidakkah kita sedar bahawa masa kian pantas berlalu. Kehidupan hari ini semakin mencabar.

Desakan dalam memenuhi keperluan semakin menekan menyebabkan kita sering tewas dengan cabaran, kekeliruan memilih antara yang benar dan salah, yang halal dan haram, dosa dan pahala, menyebabkan hidup menjadi huru-hara, kucar-kacir dan masyarakat menjunam menuju kehancuran. Inikah prestasi hijrah yang kita mahukan?

Justeru, sewajarnya Tahun Baru Hijrah menimbulkan keinsafan kepada kita agar melakukan muhasabah diri merasai sejauh mana keperluan hijrah yang sebenarnya kita lakukan. Adakah kita semakin maju atau mundur? Terus hanyut dalam arus kehidupan? Sesungguhnya Allah menjadikan kita daripada dua unsur iaitu jasmani dan rohani.

Di dalam tubuh kita ada dua kekuatan naluri yang saling berlawanan iaitu tenaga yang tunduk di bawah pengendalian akal waras yang boleh membezakan antara yang baik dan buruk serta tenaga atau naluri yang merosakkan di bawah runtunan nafsu yang akhirnya merosakkan diri bahkan masyarakat dan negara.

Maka meninjau keadaan masyarakat Malaysia dewasa ini, terlalu banyak bahan renungan dan iktibar yang perlu dijadikan ukuran. 2007 menyaksikan pelbagai jenis kepincangan dan keruntuhan, kejatuhan dan kebangkitan, kegagalan dan kejayaan, suka dan duka, pahit dan manis tercatat dalam diari hidup setiap daripada kita selaku manusia di bumi Allah ini.

Justeru, awal tahun baru adalah saat dan detik sesuai bagi umat Islam berazam, bertekad dan berubah untuk mengakhiri segala macam kemelut, krisis, kepincangan dan musibah menimpa.

Dalam erti kata lain, umat Islam perlu berubah menuju ke arah matlamat disasarkan, merencana hala tuju dan meraih wawasan kecemerlangan dalam pelbagai lapangan hidup. Untuk itu, perubahan paling utama perlu dilakukan terlebih dulu ialah bermula daripada diri sendiri.

Rencana sumbangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)