Salam Ma’al Hijrah 1433

Salam Maal Hijrah 1433 kepada semua anak kariah Muslimin dan Muslimat. Kita berada diambang Tahun Baru Kalender Islam. Semoga apa yang kita lakukan Selama ini diberkati hendaknya. Sama-samalah kita berdoa agar kita dilindungi oleh Cahaya Keimanan dariNYA. Dengan tema “Persefahaman Asas Perpaduan Ummah” semoga di tahun baru ini kita lebih diberkati dan dirahmati Allah. Pengerusi dan AJK STR

Selasa, 24 Januari 2012

Renungan 6


aSSALAMUALAIKUM W.B.T

 Keberkatan dan kelebihan hari Jumaat



Pengenalan
Begitu besarnya hikmah hari Jumaat atau dalam bahasa Arabnya “Jumu’ah” yang berasal daripada perkataan “jama’a”, bermakna ‘berkumpul’. Berkumpul yang dimaksudkan di sini ialah menunaikan solat dan mendapatkan ilmu (melalui khutbah) dengan ‘duduk sama rendah berdiri sama tinggi’ bersama-sama jemaah lain tanpa mengira warna kulit atau pangkat, kekayaan, dan keupayaan. Pada waktu inilah nilai manusia itu sama, yang membezakannya hanyalah iman dan takwa terbit tanpa disedari. Oleh hal yang demikian itu, hari Jumaat dikatakan hari untuk umat Islam berkumpul, memanjatkan doa serta membuat pelbagai amal kebajikan untuk mendapat keredhaan dan rahmat daripada Allah S.A.W.

Penghulu Segala Hari
Banyak hadis menerangkan kelebihan hari Jumaat, misalnya hadis Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan Abu Hurairah berkenaan penghulu hari, bermaksud: “Jumaat dinamakan sebagai `Sayyidul Aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).” Katanya Rasulullah SAW bersabda: Kita (umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia) tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat. Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih dahulu daripada kita sedangkan kita sesudah mereka. Kita diberikan petunjuk oleh Allah akan kebenaran yang mereka perselisihkan itu yang Allah telah tunjukkan kepada kita iaitu Hari Jumaat. Maka hari ini (Jumaat) adalah untuk kita. Besok (Sabtu) untuk kaum Yahudi dan lusa (Ahad) untuk kaum Nasrani.

Kelebihan Hari Jumaat
Jumaat dikhabarkan sebagai hari yang istimewa dan mulia. Pada hari Jumaat berlakunya lima peristiwa yang penting, iaitu
1)  Allah ciptakan Adam ,
2)  Allah turunkan Nabi Adam  ke bumi,
3) Allah mematikan Nabi Adam,
4)  Pada hari itu juga ada satu saat yang tidak ada seorang hamba pun yang memohon sesuatu, kecuali Allah akan perkenankan permohonannya, selagi ia tidak meminta sesuatu yang haram.
5)  Pada hari itu juga akan terjadinya hari kiamat. Tidak ada satu malaikat pun, sekalipun yang amat dekat kedudukannya di sisi Allah, langit, bumi, angin, gunung, juga lautan, melainkan kesemuanya memohon belas kasihan pada hari tersebut.
( Riwayat Hadis Muslim)

Dalam hadis lain, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat.” (Hadis riwayat Tirmidzi).

Kelebihan Solat Jumaat
Solat Jumaat dua rakaat yang difardukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu semulia hari yang perlu diambil manfaat untuk mendapatkan ganjaran ALLAH daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.
Selain itu, hari Jumaat juga merupakan satu hari yang cukup mustajab dan istimewa untuk kita semua berdoa meminta pertolongan, nur dan hidayah daripada Yang Maha Esa.
Rasulullah bersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu. Sesiapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”
Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan di dalam buku kehadiran malaikat.

Malaikat Turun ke Bumi
Setiap hari Jumaat, Allah S.A.W  mengutuskan  malaikat ke bumi, mencatat nama mereka yang ke masjid. Malaikat-malaikat akan ke langit menyembahkan apa yang dicatatnya. Allah S.W.T mengampunkan dosa-dosa mereka yang datang ke masjid.
Pada hari Jumaat juga, Allah S.W.T mengutus malaikat ke muka bumi. Di tangan mereka kalam-kalam emas, juga kertas-kertas daripada perak, berdiri di pintu-pintu masjid, mencatat nama mereka yang masuk masjid, dan mendirikan sembahyang Jumaat. Apabila telah sempurna sembahyang, mereka kembali ke langit lalu berkata: “Wahai Tuhan kami, kami telah catatkan nama mereka yang masuk masjid dan menunaikan Jumaat.”
Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
“ Wahai Malaikat-Ku, demi kemuliaan dan kebesaran-Ku, sesungguhnya Aku telah ampunkan mereka, tidak berdosa sedikit pun.”


Kesimpulan

Melalui penerangan itu jelas sekali Jumaat bukan sebarang hari, malah begitu dimuliakan dan sewajarnya ia turut dimuliakan umat Islam. Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan di dalam buku kehadiran malaikat. Melalui penerangan itu jelas sekali Jumaat bukan sebarang hari, malah begitu dimuliakan dan sewajarnya ia turut dimuliakan umat Islam. 

Sumber:  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (YAKIM)
Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM




Renungan 5


Assalamualaikum w.b.t

Waktu mustajab untuk berdoa

BERDOA adalah otak ibadat. Begitulah besarnya kedudukan doa. Lagi banyak kita mohon bertambah sayang Allah kepada kita dan ia berbeza dengan manusia, lagi banyak kita minta, lagi banyak kita dimarahi atau dimaki.
Doa sifat perhambaan manusia dan mereka diciptakan untuk hamba-Nya. Supaya doa mudah diterima kita patut meneliti serta mengetahui waktu yang sangat mustajab untuk berdoa antaranya ialah:
Pada waktu sepertiga malam iaitu waktu terakhir, ketika orang lain nyenyak tidur. Allah s.w.t berfirman, maksudnya: “Mereka (muttaqin) sedikit sekali tidur pada waktu malam dan pada akhir malam, mereka memohon ampun (kepada Allah)” (Surah Adz-Dzariyat ayat 18-19).
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Rabb (Tuhan) kita turun di setiap malam ke langit terendah iaitu ketika sepertiga malam terakhir, lalu Dia berfirman: Siapa yang berdoa kepada-Ku, Aku kabulkan.
Siapa yang meminta kepada-Ku, Aku berikan kepadanya dan siapa yang meminta ampun kepada-Ku, Aku ampunkan untuknya” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Waktu antara azan dan iqamah iaitu ketika menunggu solat berjemaah. Sayangnya waktu mustajab ini sering disalahgunakan sesetengah umat Islam yang kurang mengerti sunnah sehingga diisi dengan hal tidak baik dan tidak dianjurkan Islam, membicarakan urusan dunia yang tidak bernilai ibadat.

Pada waktu sujud iaitu sujud di dalam solat atau sujud lain yang diajarkan Islam seperti sujud syukur, sujud tilawah dan sujud sahwi.

Dalilnya adalah hadis Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Kedudukan hamba yang paling dekat dengan Tuhannya adalah ketika ia dalam keadaan sujud, maka perbanyaklah doa” (Hadis riwayat Muslim).

Hadis Ibnu Abbas r.a, dia berkata: “Rasulullah s.a.w membuka tabir (ketika baginda sakit), sementara orang ramai sedang berbaris (solat) di belakang Abu Bakar r.a lalu Rasulullah s.a.w bersabda: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya tidak ada lagi daripada mubasysyirat nubuwwah (khabar gembira kenabian) kecuali mimpi baik yang dilihat oleh seorang Muslim atau diperlihatkan untuknya. Ingatlah bahawasanya aku dilarang untuk membaca al-Quran ketika rukuk atau ketika sujud. Adapun di dalam rukuk, agungkanlah Allah dan adapun di dalam sujud, bersungguhlah berdoa, sebab (hal itu) segera dikabulkan bagi kamu” (Hadis riwayat Muslim).

Selepas solat fardu iaitu selepas melaksanakan solat wajib lima waktu termasuk selepas solat Jumaat. Allah berfirman, maksudnya: “Dan bertasbihlah kamu kepada-Nya di malam hari dan selesai solat” (Surah Qaaf ayat 40).

Oleh kerana itu, Imam Syafie dan pengikutnya menjelaskan, dianjurkan bagi imam dan makmumnya serta orang yang solat sendirian memperbanyakkan zikir, wirid dan doa selepas selesai solat fardu.

Dianjurkan membaca doa dengan perlahan kecuali jika makmum belum mengerti, imam boleh menguatkan bacaan agar makmum menirunya. Apabila mereka mengerti, kembalilah secara perlahan.

Pada waktu khusus tetapi tidak diketahui dengan pasti batasannya iaitu satu detik pada setiap malam dan setiap hari Jumaat.

Ini berdasarkan hadis Jabir r.a, dia berkata: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya di malam hari ada satu saat (yang mustajab), tidak ada seorang Muslim pun yang bertepatan pada waktu itu meminta kepada Allah kebaikan urusan dunia dan akhirat melainkan Allah pasti memberi kepadanya” (Hadis Riwayat Muslim).

Hadis Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w pernah menyebut hari Jumaat, baginda bersabda: “Di dalamnya ada satu saat (yang mustajab), tidaklah seorang hamba Muslim yang kebetulan waktu itu sedang mendirikan solat (atau menunggu solat) dan memohon kepada Allah sesuatu (hajat) melainkan Allah pasti mengabulkan permohonannya.” Nabi s.a.w mengisyaratkan dengan tangannya akan sedikitnya saat mustajab itu (Hadis riwayat al-Bukhari).

Di dalam hadis Muslim dan Abu Daud dijelaskan: “Iaitu waktu antara duduknya imam (khatib) sehingga selesainya solat (Jumaat).” Inilah riwayat yang paling sahih dalam hal ini.

Sementara dalam hadis Abu Daud yang lain, Nabi s.a.w memerintahkan agar kita mencarinya pada akhir waktu Asar. Waktu lain yang mustajab ialah sepertiga akhir malam, ketika hujan turun, waktu awal pagi ketika dengar ayam berkokok, ketika berpuasa, ketika bermusafir, bulan Ramadan dan pada 10 akhir Ramadan.

Sumber: mymetro-tazkirah-ust Mohd Zawawi Yusoh





Renungan 4


Assalamualaikum w.b.t

JAGA LIDAH APABILA BERBICARA

INDIVIDU berkualiti dapat dinilai daripada kemampuannya menjaga lisan iaitu lidahnya. Mereka yang beriman pasti akan menjaga tutur bicaranya daripada mengeluarkan perkataan buruk.
Dalam hal ini, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Siapa yang beriman pada Allah dan hari akhir, maka hendaklah dia berkata baik atau diam” (Hadis riwayat Bukhari &Muslim).
Baginda adalah contoh manusia yang sangat menjaga tutur katanya. Rasulullah akan berbicara atau berkhutbah di hadapan orang ramai secara berakhlak dan baginda juga adalah individu yang sangat jarang berbicara.

Namun, sekali berbicara, isi bicaranya pasti ada kebenarannya. Nilai ucapannya sangat tinggi seolah-olah mutiara yang indah dan bermutu. Ucapan baginda menembus hati, menggugah kesedaran, membekas ke jiwa serta dapat mengubah perilaku orang dengan izin Allah.

Atas sebab itu, Rasulullah digelar ‘Al-Amin’ kerana sejak kecilnya lagi tidak pernah berdusta. Justeru, jika kita ingin tahu kualiti seseorang itu, lihat saja apa yang sering dikeluarkan daripada mulutnya.

Manusia dapat dikategorikan kualitinya kepada empat berdasarkan kualiti tutur bicaranya. Pertama, orang yang berkualiti tinggi. Jika mereka berbicara, isinya sarat dengan hikmah, idea, gagasan, ilmu, zikir dan penyelesaian.

Orang seperti ini bicaranya bermanfaat pada dirinya sendiri dan juga bagi orang lain yang mendengarnya. Malah, apabila diajak berbual pastinya ada manfaat ilmu. Bicara mereka bermotivasi dan berpandangan positif dalam setiap perkara yang diutarakan.

Kedua, orang yang biasa-biasa saja. Ciri orang seperti ini adalah mereka sibuk menceritakan peristiwa contohnya melihat kemalangan jalan raya atau rompakan, dia juga pasti akan menceritakannya seolah-olah diri mereka berada di tempat itu.

Jika melalui semua bicara itu orang lain dapat mengambil hikmah maka tidak rugi, tapi jika sekadar memenatkan mulut sendiri tanpa manfaat tentu ia sia-sia.

Ketiga, orang rendah kualiti diri. Cirinya jika berbicara isinya hanya mengeluh, mencela dan menghina. Apa saja akan jadi bahan keluhannya. Contohnya, mereka sering mengeluh banyak masalah.

Mereka juga tidak tahu menghargai sesuatu misalnya, Jika dihidangkan makanan akan keluar keluhannya seperti ‘kenapa lauk ini kurang sedap’, namun begitu habis juga dimakannya.

Hari-harinya dipenuhi dengan bersungut seolah-olah segala yang berlaku penuh kekurangan. Alangkah ruginya hidup orang kategori seperti ini kerana seolah-olah tidak dapat membezakan nikmat dan musibah.
Keempat, orang yang cetek fikirannya iaitu mereka yang bicaranya hanya mengenai kehebatan dirinya atau kebaikan dirinya sedangkan hidup adalah pengabdian diri kepada Allah.

Mengapa mereka perlu bangga diri kerana semua itu kurniakan Allah. Golongan seperti itu sering dilihat menonjol dan mendominasi. Jika ada yang lebih baik darinya hatinya berasa tidak senang dan berharap orang itu segera jatuh.

Oleh itu berhati-hati apabila berbicara. Jagalah tutur percakapan kita dan kurangkanlah berkata-kata kerana ia akan mengurangi kesalahan kata kita. Jaga lidah sebaik mungkin kerana ia adalah amanah Allah s.w.t.

Sumber:mymetro-tazkirah-ust mohd zawawi yusoh




Renungan 3


Assalamualaikum w.b.t
Sebahagian Daripada Tanda Matinya Hati Ialah Apabila Tidak Berasa Sedih Jika Terlepas Sesuatu Amal Kebaikan Daripadanya Dan Tidak Menyesal Jika Terjadi Perbuatan Yang Tidak Baik Olehnya.

"KATAKAN kepada kami bagaimana cara taqarrub atau mendekati Allah Swt, Tuan," pinta seorang murid sebelum Abu Qubaisy sempat menyampaikan kata pengantar pembuka majlis taklimnya pagi itu.

"Mengabdilah kepada Allah Swt dengan penuh kesedaran bahawa Dia menciptakan jin dan manusia hanya untuk mengabdi. Dan hadapkanlah wajah hanya kepada-Nya saja. Jangan ada tempat menghadap yang lain selain Dia," jawab sang mahaguru yang luas ilmu dan pengetahuannya tersebut.

"Bersediakah Tuan jelaskan itu dengan bahasa yang lebih mudah difahami?" tanya dan sekali gus pinta murid lain yang tampak kecewa.

"Barangkali ada baiknya kukutipkan untuk kalian apa yang pernah diucapkan sufi dan ulama besar Syekh Abd al-Qadir Jailani. Kata beliau, 'Pada pandanganku dunia ini ibarat fatamorgana, datang dan pergi, bersifat sementara, menipu, dan palsu. Kerana itu aku tidak pernah percaya kepadanya, dan sama sekali tidak terpikat olehnya. Kerana dia datang dan pergi begitu saja. Akan halnya akhirat, di situ aku hanya sebentar saja. Bila aku telaah dan perhatikan keadaannya, kutemukan ada juga kekurangannya. Ia diciptakan untuk makhluk yang ciri-cirinya mirip dunia ini. Di dalamnya aku melihat Allah telah menyediakan tempat untuk memuaskan segala keinginan dalam diri, yakni nafsu dan segala yang menyenangkan mata belaka. Kemudian aku bertanya kepada diriku sendiri, "Apa yang diinginkan hati ini?" Aku pun memalingkan wajah ku kepada "Tuan" yang memiliki semua makhluk, yakni Mawla. Pentadbir, yakni Bari'. Pencipta, yakni Khalik. Dan Pencipta, yakni Muhdits. Apakah ada yang lain selain "Tuan" ini?"

Menurutku, dari ucapan yang pernah dikatakan Abd al-Qadir Jailani itu, bilamana orang dengan sepenuh kesedaran mengabdikan diri hanya kepada Allah, dengan keyakinan karena tak ada tempat lain untuk mengabdi, maka Dia dengan sifat-Nya yang Pemurah akan memberikan ganjaran utama. Iaitu akan menggantikan kejahilan atau kedunguan, dengan ilmu. Menggantikan rasa jauh menjadi rasa dekat. Menggantikan kegelapan dengan cahaya yang benderang, dan seterusnya," jelas Abu Qubaisy dengan panjang lebar

Sumber: initrendahspsjpnt.bogspot.com