Salam Ma’al Hijrah 1433

Salam Maal Hijrah 1433 kepada semua anak kariah Muslimin dan Muslimat. Kita berada diambang Tahun Baru Kalender Islam. Semoga apa yang kita lakukan Selama ini diberkati hendaknya. Sama-samalah kita berdoa agar kita dilindungi oleh Cahaya Keimanan dariNYA. Dengan tema “Persefahaman Asas Perpaduan Ummah” semoga di tahun baru ini kita lebih diberkati dan dirahmati Allah. Pengerusi dan AJK STR

Selasa, 24 Januari 2012

Renungan 10


Assalamualaikum w.b.t…

Kelebihan Orang Yang Sering Berzikir Kepada Allah:

a. Mendapat keredhaan Allah dan memperolehi ketenangan pada hati serta dapat merasakan kelazatan di dalam jiwa.

b. Menimbulkan kejernihan, kemanisan pada hati dan wajah.

c. Mendapat kasih sayang, kecintaan serta keampunan dari Allah serta dimurahkan rezeki.

d. Dapat merasakan betapa besar, agung, hebat dan berkuasanya kerajaan Allah.

e. Segera mendapat pembelaan dari Allah apabila seseorang itu berada dalam kesusahan dan kedukaan.

f. Mendapat kehormatan dan doa dari sekalian malaikat.

g. Memperolehi pohon tamar di dalam syurga kelak, semakin banyak dia berzikir maka semakin banyaklah pohon tamar itu untuknya.

h. Mendapat Nur dari Allah dalam kehidupan di dunia ini, di alam barzakh dan titisan sirat nanti.

i. Dapat membina rumah dan juga istana di dalam syurga. apabila kita berhenti berzikir maka berhentilah pembinaannya di syurga.

j. Menjadi pendinding dan perisai dari neraka jahanam.
Allah Yang Maha Besar selalu mengingatkan kita di dalam kitab-Nya Al-Quran Al-Karim supaya berzikirillah seperti berikut:
“Dan sebutlah nama Tuhanmu pada waktu pagi dan petang, dan pada sebahagian dari malam, maka sujudlah kepadaNya dan bertasbihlah kepadaNya pada bahagian yang panjang di malam hari.”  Surah 76: Al Insan, Ayat 25 & 26
“Dan sebutlah nama Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak meninggikan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.”    Surah 7: Al A’raf,  Ayat 205
“Orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” Surah 3: Al Imran Ayat 191
“Sesungguhnya Aku lah Allah, tidak ada Tuhan selainKu, maka sembahlah Aku dan dirikanlah salat untuk mengingati Aku.”   Surah 20 Ta Ha Ayat 14
“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut nama Allah.” Surah 33: Al Ahzab Ayat 21
Dari Bukhari, Muslim, Tirmidhi dan Ibn Majah, diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman: Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hambaKu terhadapKu. Aku bersamanya ketika dia mengingatiKu. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diriKu. Apabila dia mengingatiKu di majlis, nescaya Aku juga akan mengingatinya di dalam suatu majlis yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekatiKu dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekatiKu sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepadaKu dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya seperti berlari-lari anak.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah s.w.t Yang Maha Memberkati lagi Maha Tinggi memiliki para Malaikat yang mempunyai kelebihan yang diberikan oleh Allah s.w.t. Para Malaikat selalu mengelilingi bumi. Para Malaikat sentiasa memerhati majlis-majlis zikir. Apabila mereka dapati ada satu majlis yang dipenuhi dengan zikir, mereka turut mengikuti majlis tersebut di mana mereka akan melingkunginya dengan sayap-sayap mereka sehinggalah memenuhi ruangan antara orang yang menghadiri majlis zikir tersebut dan langit. Apabila orang ramai yang hadir dalam majlis tersebut beredar, para malikat naik ke langit. 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan