Salam Ma’al Hijrah 1433

Salam Maal Hijrah 1433 kepada semua anak kariah Muslimin dan Muslimat. Kita berada diambang Tahun Baru Kalender Islam. Semoga apa yang kita lakukan Selama ini diberkati hendaknya. Sama-samalah kita berdoa agar kita dilindungi oleh Cahaya Keimanan dariNYA. Dengan tema “Persefahaman Asas Perpaduan Ummah” semoga di tahun baru ini kita lebih diberkati dan dirahmati Allah. Pengerusi dan AJK STR

Selasa, 28 Jun 2011

INFO REJAB 2


Info Rejab
SPI BPK Bil 11/2011

Menguji Keimanan Di Sanubari
Kita kini sedang berada di bulan Rejab yang telah mencatatkan suatu peristiwa penting di mana pada tanggal 27 Rejab tahun kesebelas selepas daripada kenabian Rasulullah SAW dan 2 tahun sebelum berlakunya hijrah nabi SAW ke Madinah Munawwarah, telah berlaku peristiwa israk dan mikraj di mana ia merupakan satu bukti tentang kebesaran, kekuasaan dan kehebatan Allah dalam memperjalankan diri Rasulullah SAW dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa, Baitul Maqdis Palestin dan seterusnya nabi di angkat ke langit untuk bertemu Allah dalam masa yang begitu singkat. Peristiwa ini telah membongkarkan tentang keimanan dan keyakinan umat manusia terhadap kekuasaan Allah dan kebenaran kepada kenabian nabi Muhammad SAW. Orang kafir sendiri menjadikan peristiwa Israk dan Mikraj ini sebagai suatu pembohongan yang menambahkan lagi penolakan mereka terhadap dakwah nabi. Manakala keadaan umat Islam sendiri terbahagi kepada beberapa peringkat di mana ada yang terus membenarkan nabi seperti Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq, ada pula yang mahu penjelasan terperinci dengan menguji nabi melalui beberapa pertanyaan seperti bilangan pintu dan tiang dalam Masjidil Aqsa bagi membuktikan kebenaran kepada cerita tersebut dan ada pula yang bersikap menolak terus cerita nabi dan kembali murtad daripada Islam.

Perkara seperti inilah juga yang terpaksa dihadapi oleh kita pada hari ini apabila usaha dalam melaksanakan semula semua sistem Islam dalam negara maka di sana timbulnya beberapa golongan iaitu golongan pertama yang seratus peratus yakin dengan kemampuan Islam serta berusaha dengan kemampuan yang ada untuk melaksanakannya. Golongan yang kedua terdiri daripada mereka yang tahu tentang kemampuan sistem Islam tetapi sentiasa mencari jalan agar ia tidak dapat dilaksanakan dengan mencari pelbagai alasan. Golongan ketiga iaitu golongan pelampau terdiri daripada mereka yang menolak terus sistem Islam malah memberi amaran akan melakukan huru hara jika ada pihak yang berusaha untuk melaksanakannya dalam negara ini. Jika umat dahulu berasa pelik apabila nabi menceritakan tentang Israk dan Mikraj maka umat zaman kini merasa pelik apabila disebut tentang sistem Islam yang menyeluruh sedangkan sistem ini pernah dilaksanakan di negara ini pada masa pemerintahan Kesultanan Melayu sebelum datangnya penjajah.

Umat Islam menjadi pelik dengan agama mereka sendiri kerana mereka telah diajar dan diasuh oleh pemimpin yang jahil dan sesat saban hari melalui tv, radio, akhbar dan sebagainya agar memusuhi dan memerangi sistem Islam yang menyeluruh. Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku selepas nabi diuji dengan kematian dua orang yang paling rapat dan banyak membantu baginda dalam usaha menyebarkan dakwah Islam iaitu isteri tercinta Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Tolib. Tekanan yang dihadapi selepas kematian kedua insan yang disayangi semakin bertambah di mana jika kita perkirakan dari segi logik akal maka Islam pasti akan terkubur tetapi kuasa Allah melebihi segala-galanya di mana selepas penolakan dakwah oleh penduduk Taif, nabi telah dihiburkan dengan Israk dan Mikraj dan seterusnya diizinkan untuk berhijrah ke Madinah sehingga membina Daulah Islamiah yang telah mengubah kedudukan Islam daripada dihina kepada dipandang mulia, daripada lemah kepada memerintah. Dalam peristiwa di Taif di mana penduduknya bukan sahaja menolak mentah-mentah dakwah Islam malah telah melontar batu ke arah nabi sehingga berlumuran darah. Kita dapat melihat nabi telah diberi peluang untuk menang mudah iaitu tawaran daripada malaikat penjaga bukit untuk menjadikan bukit bawah jagaannya sebagai emas tetapi ditolak oleh nabi sebagaimana nabi menolak tawaran malaikat penjaga bukit yang ingin menghancurkan penduduk Taif yang begitu degil dengan menjatuhkan bukit ke atas penduduk Taif.

Penolakan nabi ini memberi banyak pengajaran kepada kita umat Islam di mana kekayaan bukanlah factor utama dalam menegakkan Islam kerana jika kita perhatikan pada hari ini kebanyakan negara umat Islam dianugerahkan dengan hasil mahsul negara yang banyak tetapi ia tidak membantu pelaksanaan sistem Islam dan tidak pula membantu untuk umat Islam bersatu dalam menghentikan penderitaan umat Islam yang sedang ditindas. Kekayaan hanya dibolot oleh pemimpin dan mereka yang dekat dengan pemimpin sedangkan rakyat terus menderita dan ditegah daripada bersuara menegur kesesatan dan kezaliman pemimpin. Islam bukan mampu bangkit dengan kekuatan ekonomi semata-mata tetapi Islam bangkit melalui kekuatan aqidah yang ditanam dalam diri. Islam juga bukan tersebar atas paksaan tetapi ia mampu menawan hati manusia dengan keadilan dan keindahan seluruh sistemnya sehingga tawaran kesenangan dunia dengan sendiri akan ditolak apabila semangat Islam telah menguasai diri seseorang. Kekuatan aqidah inilah yang menjadi musuh kepada mereka yang melawan Islam daripada golongan kuffar dan munafik. Kita perlu ingat bahawa tiada istilah menang mudah dalam memperjuangkan Islam kerana ia menuntut kepada kesabaran dan istiqamah sebelum datangnya janji kemenangan daripada Allah.


Ihsan: Sektor Pendidikan Islam BPK

INFO REJAB 1


Info Rejab
SPI BPK Bil 10/2011

Kekuatan Yang Hilang
Info 2011
Lambaian Jamadil Akhir baru sahaja berlalu bersama sejuta kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh kita semua dengan pelbagai cerita suka dan duka. Kini, Rejab pula menyusun gerak memula bicara dengan membawa ceritanya yang mana pasti akan mengisi waktu-waktu kita yang masih tersisa sementara menunggu jasad dimamah usia. Sempena kehadiran Rejab pada kali ini, marilah sama-sama kita merenung kepada sebuah kekuatan yang pernah menjadi keagungan dan keizzahan kepada umat Islam suatu ketika dahulu dan membiaskan seribu satu kegerunan dan ketakutan di wajah musuh. Kekuatan yang dimaksudkan ialah kekuatan ruh solat yang tertanam di dalam setiap diri pejuang agama Allah SWT.

Jika diselak kembali helaian sejarah yang berlaku dalam bulan Rejab, maka kita akan dapati suatu peristiwa yang terlalu agung dan ulung pernah terjadi kepada junjungan besar kita nabi Muhammad SAW. Peristiwa yang dimaksudkan ialah Israk dan Mikraj nabi kita yang berlaku pada 27 Rejab(menurut satu pendapat ulama). Peristiwa yang berlaku hanya dalam masa satu hari ini bukanlah bermaksud untuk memperjalankan Nabi SAW tanpa ada sebarang motif dan tujuan. Bahkan terselit di sana suatu penganugerahan yang terlalu istimewa khusus buat nabi Muhammad SAW serta umatnya iaitu penganugerahan solat lima waktu ketika nabi Muhammad SAW berada di Sidratul Muntaha.

Diriwayatkan bahawa semasa Panglima Salahuddin Al Ayyubi mengetuai gagasan tentera untuk melawan tentera salib laknatullah, beliau begitu menitik beratkan soal ibadah solat. Sehingga diceritakan pada waktu malam hari, beliau akan meronda-ronda kawasan khemah para tentera bagi memastikan semua tentera tidak mensia-siakan masa yang ada sebelum fajar menjengah tiba. Sesiapa sahaja dalam kalangan tentera yang tidak melakukan sebarang ibadah seperti solat sunat,beliau tidak teragak-agak untuk meletakkan tentera tersebut di barisan yang paling tercorot di belakang semasa berperang. Mengapa perlu sedemikian rupa?

Teringat pula kisah yang dilakarkan dalam coretan sejarah bagaimana seorang tentera yang terkena panahan daripada anak panah musuh ketika sedang mengawal pos tentera. Namun begitu, bilamana hendak dicabut anak panah tersebut daripada badannya, beliau meminta kepada rakan-rakannya mencabut ketika beliau sedang menunaikan solat. Mengapa sebegitu rupa pula?

Jika anda meneliti cebisan dua kisah yang dibawakan sebentar tadi, anda pasti akan mengakui hakikat sebenar yang terkandung di dalam solat. Suatu hakikat yang perlu kita akui bahawasanya, di dalam solat sebenarnya terkandung satu kekuatan yang begitu menakjubkan dan mengkagumkan kita. Kekuatan ini sebenarnya telahpun diperolehi oleh orang-orang yang terdahulu daripada kita. Ini kerana mereka melaksanakan tuntutan solat dengan penuh kehambaan dan kesungguhan. Hasil daripada itulah, Allah SWT menganugerahkan kekuatan-kekuatan yang tidak diminta-minta dan disangka-sangka oleh mereka. Kemurahan Allah SWT ini dapat kita perhatikan dalam firmanNya yang bermaksud: “ Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah maka Allah akan menjadikan kepadanya jalan keluar daripada sesuatu masalah yang dihadapinya. Dan Allah juga akanmengurniakan dia daripada kurniaan yang tidak disangka-sangka olehnya”.

Namun begitu, kekuatan ini semakin hari semakin pudar dan hilang begitu sahaja di zaman kita sekarang. Solat yang dilakukan sehari-harian ibarat sekadar melepaskan batuk di tangga. Hanya semata-mata kerana hendak melangsaikan tanggungjawab yang ditaklifkan tanpa sedikit pun menghayati erti solat yang dituntut kepada kita. Akhirnya, solat yang dilakukan tidak dapat membentuk peribadi kita jauh sekali untuk menjadi kekuatan kepada kita bahkan menjadikan pula kita jauh dengan Tuhan pencipta alam.

Ayuhlah sahabat-sahabat, kita perlu bangkit semula daripada lena kita yang panjang. Kita sudah tidak ada masa untuk hidup bersenang-senang di atas rumah tumpangan bernama dunia ini. Hayatilah kembali solat kita. Adakah solat kita selari dengan apa yang dikehendaki oleh agama kita? Adakah pelaksanaan solat kita sudah mencapai tahap piawaian yang telah digazetkan oleh Allah SWT? Renungilah kembali sahabat-sahabat. Biarlah Rejab yang datang kali ini membina suatu keazaman yang baru serta mencetuskan suatu revolusi kepada ibadah solat kita.


Ihsan: Sektor Pendidikan Islam BPK

FASA 1 DAN 2 DALAM PEMBINAAN

FASA 1 DAN 2 PROJEK MENAIKTARAF STR

Fasa 1: Membina pagar konkrit, lampu tiang pagar, pintu pagar dan papan tanda nama surau.

Fasa 2: Membina dan menaiktaraf  khemah jamuan.

PROJEK PEMBANGUNAN SURAU TAMAN RAMAL


Menaiktaraf keadaan fizikal surau dengan beberapa pembinaan seperti berikut:

1.
Pagar konkrit di sekeliling surau, bagi tujuan keselamatan dan keceriaan

2.
Menaiktaraf  khemah jamuan

3.
Menaiktaraf tandas lama menjadi stor

4.
Wakaf ilmu

5.
Dataran kejat


Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda, bermaksud: “Apabila seorang mati, putuslah amalannya kecuali tiga perkara, (iaitu): Sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah kepada orang lain atau anak yang salih yang berdoa untuknya.” (Riwayat Muslim dan lain-lain termasuk Imam Ahmad. Mustika Hadis 3:312)
Kepada,
Semua Penduduk Islam,
Taman Ramal Indah,
Taman Sri Ramal,
Muslimin / Muslimat.

Tuan / Puan,

MOHON SUMBANGAN PROJEK PEMBANGUNAN SURAU TAMAN RAMAL

Perkara di atas adalah dirujuk.

2.                     Dengan segala hormatnya dimaklumkan, Surau Taman Ramal becadang untuk menaiktaraf keadaan fizikal Surau dengan beberapa pembinaan seperti berikut:

i.                    Pagar di sekeliling surau, bagi tujuan keselamatan dan keceriaan
ii.                  Menaiktaraf  khemah jamuan
iii.                Menaiktaraf tandas lama menjadi stor
iv.                Wakaf ilmu

3.                     Sehubungan dengan itu, AJKT STR memohon kepada  tuan/puan agar dapat memberi sumbangan ikhlas bagi menjayakan projek pembangunan ini.

4.                     Bersama-sama ini disertakan borang sumbangan untuk tuan/puan yang ingin menyumbang. Sumbangan wang tunai hendaklah dimasukkan ke dalam PETI BESI SURAU TAMAN RAMAL atau serahkan terus kepada AJKT STR. Senarai nama penyumbang dan jumlah sumbangan akan dipamerkan di papan kenyataan surau sebagai tanda penerimaan dan akan diwakafkan.

Segala sokongan dan kerjasama yang tuan/puan berikan,  kami dahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Sekian.

“BERKHIDMAT KERANA ALLAH”


…………………………………………
(HASNUL HADI BIN HUSSAIN)
Setiausaha
Surau Taman Ramal
(012 - 377 4475)

Bersama ini disertakan sumbangan ikhlas daripada saya kerana Allah s.w.t:

Perkara

RM

Sumbangan untuk projek pembangunan Surau Taman Ramal



Jumlah (Tunai / Cek No. * …………….. Bank : ………………...)



* Sumbangan tuan/puan boleh juga di masukkan terus ke dalam akaun  Surau  Taman Ramal di Bank Islam Cawangan Bandar Baru Bangi.
   No Akaun: 12029010038954

  Sekian, terima kasih.