Salam Ma’al Hijrah 1433

Salam Maal Hijrah 1433 kepada semua anak kariah Muslimin dan Muslimat. Kita berada diambang Tahun Baru Kalender Islam. Semoga apa yang kita lakukan Selama ini diberkati hendaknya. Sama-samalah kita berdoa agar kita dilindungi oleh Cahaya Keimanan dariNYA. Dengan tema “Persefahaman Asas Perpaduan Ummah” semoga di tahun baru ini kita lebih diberkati dan dirahmati Allah. Pengerusi dan AJK STR

Selasa, 28 Jun 2011

INFO REJAB 1


Info Rejab
SPI BPK Bil 10/2011

Kekuatan Yang Hilang
Info 2011
Lambaian Jamadil Akhir baru sahaja berlalu bersama sejuta kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh kita semua dengan pelbagai cerita suka dan duka. Kini, Rejab pula menyusun gerak memula bicara dengan membawa ceritanya yang mana pasti akan mengisi waktu-waktu kita yang masih tersisa sementara menunggu jasad dimamah usia. Sempena kehadiran Rejab pada kali ini, marilah sama-sama kita merenung kepada sebuah kekuatan yang pernah menjadi keagungan dan keizzahan kepada umat Islam suatu ketika dahulu dan membiaskan seribu satu kegerunan dan ketakutan di wajah musuh. Kekuatan yang dimaksudkan ialah kekuatan ruh solat yang tertanam di dalam setiap diri pejuang agama Allah SWT.

Jika diselak kembali helaian sejarah yang berlaku dalam bulan Rejab, maka kita akan dapati suatu peristiwa yang terlalu agung dan ulung pernah terjadi kepada junjungan besar kita nabi Muhammad SAW. Peristiwa yang dimaksudkan ialah Israk dan Mikraj nabi kita yang berlaku pada 27 Rejab(menurut satu pendapat ulama). Peristiwa yang berlaku hanya dalam masa satu hari ini bukanlah bermaksud untuk memperjalankan Nabi SAW tanpa ada sebarang motif dan tujuan. Bahkan terselit di sana suatu penganugerahan yang terlalu istimewa khusus buat nabi Muhammad SAW serta umatnya iaitu penganugerahan solat lima waktu ketika nabi Muhammad SAW berada di Sidratul Muntaha.

Diriwayatkan bahawa semasa Panglima Salahuddin Al Ayyubi mengetuai gagasan tentera untuk melawan tentera salib laknatullah, beliau begitu menitik beratkan soal ibadah solat. Sehingga diceritakan pada waktu malam hari, beliau akan meronda-ronda kawasan khemah para tentera bagi memastikan semua tentera tidak mensia-siakan masa yang ada sebelum fajar menjengah tiba. Sesiapa sahaja dalam kalangan tentera yang tidak melakukan sebarang ibadah seperti solat sunat,beliau tidak teragak-agak untuk meletakkan tentera tersebut di barisan yang paling tercorot di belakang semasa berperang. Mengapa perlu sedemikian rupa?

Teringat pula kisah yang dilakarkan dalam coretan sejarah bagaimana seorang tentera yang terkena panahan daripada anak panah musuh ketika sedang mengawal pos tentera. Namun begitu, bilamana hendak dicabut anak panah tersebut daripada badannya, beliau meminta kepada rakan-rakannya mencabut ketika beliau sedang menunaikan solat. Mengapa sebegitu rupa pula?

Jika anda meneliti cebisan dua kisah yang dibawakan sebentar tadi, anda pasti akan mengakui hakikat sebenar yang terkandung di dalam solat. Suatu hakikat yang perlu kita akui bahawasanya, di dalam solat sebenarnya terkandung satu kekuatan yang begitu menakjubkan dan mengkagumkan kita. Kekuatan ini sebenarnya telahpun diperolehi oleh orang-orang yang terdahulu daripada kita. Ini kerana mereka melaksanakan tuntutan solat dengan penuh kehambaan dan kesungguhan. Hasil daripada itulah, Allah SWT menganugerahkan kekuatan-kekuatan yang tidak diminta-minta dan disangka-sangka oleh mereka. Kemurahan Allah SWT ini dapat kita perhatikan dalam firmanNya yang bermaksud: “ Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah maka Allah akan menjadikan kepadanya jalan keluar daripada sesuatu masalah yang dihadapinya. Dan Allah juga akanmengurniakan dia daripada kurniaan yang tidak disangka-sangka olehnya”.

Namun begitu, kekuatan ini semakin hari semakin pudar dan hilang begitu sahaja di zaman kita sekarang. Solat yang dilakukan sehari-harian ibarat sekadar melepaskan batuk di tangga. Hanya semata-mata kerana hendak melangsaikan tanggungjawab yang ditaklifkan tanpa sedikit pun menghayati erti solat yang dituntut kepada kita. Akhirnya, solat yang dilakukan tidak dapat membentuk peribadi kita jauh sekali untuk menjadi kekuatan kepada kita bahkan menjadikan pula kita jauh dengan Tuhan pencipta alam.

Ayuhlah sahabat-sahabat, kita perlu bangkit semula daripada lena kita yang panjang. Kita sudah tidak ada masa untuk hidup bersenang-senang di atas rumah tumpangan bernama dunia ini. Hayatilah kembali solat kita. Adakah solat kita selari dengan apa yang dikehendaki oleh agama kita? Adakah pelaksanaan solat kita sudah mencapai tahap piawaian yang telah digazetkan oleh Allah SWT? Renungilah kembali sahabat-sahabat. Biarlah Rejab yang datang kali ini membina suatu keazaman yang baru serta mencetuskan suatu revolusi kepada ibadah solat kita.


Ihsan: Sektor Pendidikan Islam BPK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan