Salam Ma’al Hijrah 1433

Salam Maal Hijrah 1433 kepada semua anak kariah Muslimin dan Muslimat. Kita berada diambang Tahun Baru Kalender Islam. Semoga apa yang kita lakukan Selama ini diberkati hendaknya. Sama-samalah kita berdoa agar kita dilindungi oleh Cahaya Keimanan dariNYA. Dengan tema “Persefahaman Asas Perpaduan Ummah” semoga di tahun baru ini kita lebih diberkati dan dirahmati Allah. Pengerusi dan AJK STR

Isnin, 15 Ogos 2011


NUZUL AL-QURAN : PEMANGKIN TRANFORMASI
Tarikh 17 Ramadan merupakan satu tarikh yang selalu diperingati oleh umat Islam. Pada tarikh inilah masjid-masjid dipenuhi dengan ceramah Nuzul al-Quran dan media massa, surat khabar serta televisyen tidak akan terlepas menyiarkan berita serta rancangan atau kuliah sempena memperingati Nuzul al-Quran. Memang benar bahawa setiap muslim sepatutnya memperingati tarikh penurunan al-Quran. Al-Quran merupakan sebuah kitab yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW untuk disampaikan kepada umat manusia.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185:
Maksudnya: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah)”
Imam al-Qurthubi menjelaskan, bahawa Allah SWT menurunkan al-Quran untuk menjadi petunjuk dan penjelasan bagi umat manusia. Menjelaskan kepada mereka yang halal dan haram, peringatan dan hukumhakam, serta pembeza antara yang haq dan yang batil. Dengan demikian al-Quranlah yang seharusnya memandu dan memimpin kehidupan umat manusia.
Sempena Nuzul Al-Quran ini, marilah kita dengan penuh iman dan takwa bermuhasabah diri kita, apakah kita selama ini telah mengambil al-Quran sebagaimana yang Allah perintahkan atau selama ini kita hanya beriman dengan sebahagian dari al-Quran atau telah mengabaikan al-Quran? Apakah selama ini al-Quran telah benarbenar kita jadikan petunjuk, sumber hukum sekaligus sebagai penyelesai kepada segala masalah kehidupan kita ataukah sebaliknya kita malah meninggalkan dan mencampakkannya?. Kebanyakan kita berusaha menjaga jasad al-Quran. Kita tidak akan meletakkan al-Quran di lantai atau di kerusi atau lain-lain tempat yang kita rasakan tidak sesuai. Kita akan marah jika mendapati sesiapa sahaja yang tidak menjaga al-Quran. Kita turut sensitif dan merasa amat marah apabila mendengar dan melihat al-Quran
dipijak, dibakar atau dibuang di dalam tandas. Kita juga tidak akan berdiam diri jika al-Quran dihina, diremeh atau dipermainkan di dalam apa bentuk sekalipun. Kita memang akan menjaga kemurnian dan kesucian al-Quran dari segala bentuk penodaan dan pemalsuan. Sebenarnya segala usaha ini sangat baik dan memang sudah menjadi tugas dan kewajiban kita yang harus kita tunaikan. Bagaimanapun kita amat merasa kesal terdapat umat Islam berusaha untuk menjaga jasad al-Quran, tetapi tidak berusaha untuk menghayati isi kandungannya dan
menerapkan hukum-hakamnya. Umat Islam marah apabila al-Quran dihina, tetapi mereka sendiri seolah-olah seperti ‘menghina atau mengenepikan’ al-Quran dengan tidak mengamalkan hukum hukum yang terdapat di dalamnya. Kita juga bimbang terdapat di kalangan umat Islam yang hanya menjadikan al-Quran sebagai perhiasan, disimpan baik-baik di rumah dan hanya digunakan untuk hal-hal yang berunsurkan mistik, misalnya menjadikannya sebagai azimat, tangkal, pelaris, penolak bala, pengusir syaitan dan sebagainya. Mereka juga
lebih suka mengambil al-Quran sebagai sebuah ‘kitab magik’ yang boleh menguntungkan jualan, memurahkan rezeki, berubat, menghalau hantu dan pelbagai kepentingan peribadi lainnya. Oleh itu kita semua perlu memahami bahawa Allah SWT menurunkan al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, malah lebih dari itu. Membaca al-Quran adalah ibadah (sunat) dan Insya Allah kita akan beroleh pahala kerananya, tetapi mengamalkan isi kandungannya adalah WAJIB dan sesiapa sahaja mengabaikannya maka ia telah melakukan kesalahan dan
boleh sampai ke tahap berdosa besar. Siapa sahaja yang yang tidak mengamal dengan apa yang Allah telah perintahkan, maka azab Allah akan diturunkan atau menantinya di akhirat!
Sesungguhnya peluang untuk menghayati al-Quran serta mengambil pedoman di dalamnya adalah kewajipan umat Islam sendiri. Sesungguhnya Allah SWT memberikan penghormatan kepada kita sebagai manusia dengan kemuliaan-Nya, agar kita menjadi golongan yang mulia. Salah satu pendekatan yang mengangkat martabat umat ini ialah dengan mengamalkan ajaran al-Quran secara menyeluruh dengan menjadikan al-Quran sebagai acuan kehidupan. Oleh itu, di dalam keberkatan Ramadan yang mulia ini, marilah kita sama-sama mengambil manfaat untuk meningkatkan ketakwaan dan mengubah segala kelakuan buruk dengan mengamalkan segala isi kandung al-Quran agar kehidupan kita lebih diredhai Allah SWT.

Ihsan spi bpk

Tiada ulasan:

Catat Ulasan