Mencari Lailatul Qadr
10 akhir Ramadan adalah merupakan di antara malam-malam yang penuh dengan keberkatan dan kelebihan yang tertentu. Malam-malam ini adalah merupakan malam yang
ditunggu-tunggu oleh seluruh orang mukmin. Bulan Ramadan, Al Quran dan malam Lailatul Qadr mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah SWT
Maksudnya: "Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatul Qadr dan apakah yang menyebabkan engkau mengerti apa itu Lailatul Qadr. Lailatul Qadr lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar".
Kelebihan Menghayati Malam Lailatul Qadr
Kerana mulianya Lailatul Qadr, Rasulullah SAW menganjurkan supaya umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan pelbagai jenis amalan dan ibadah yang diterangkan di antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Maksudnya: "Barangsiapa menghayati malam Lailatul Qadr dengan mengerjakan sembahyang dan berbagai jenis ibadat yang lain sedang ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah taala nescaya ia diampunkan dosanya yang terdahulu. Rasulullah SAW sendiri menjadi contoh yang baik yang menghayati malam Lailatul Qadr terutama 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadan dengan beriktikaf di Masjid mengerjakan pelbagai amal ibadah untuk menyambut malam Lailatul Qadr yang mulia. Ini diterangkan di dalam satu hadis diriwayatkan daripada Aishah r.a. Katanya:
Maksudnya: "Biasanya Rasulullah SAW berusaha dengan bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal ibadah pada 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadan berbanding dengan masa yang lain."
Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul Qadr
pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadan.
Malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23,25, 27 dan 29 dari bulan Ramadan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam Lailatul Qadr itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatul Qadr supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatul Qadr itu adalah malam 27 Ramadan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatul Qadr itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT supaya setiap umat Islam menghayati 10
malam yang akhir daripada Ramadan dengan amal ibadat. Kerana dengan cara itulah sahaja mudah-mudahan akan dapat menemuinya dan dapat pula rahmat yang diharapkan
yang akan menjadikan seseorang itu hidup bahagia di dunia mahupun di akhirat.
Tanda Malam Lailatul Qadr
Para alim ulama‘ menyebutkan beberapa tanda atau alamat berhubung dengan malam Lailatul Qadr:
Ada yang berkata orang yang menemui malam Lailatul Qadr ia melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga di segala cerok yang gelap gelita.
Ada pula yang berkata ia mendengar ucapan salam dan kata-kata yang lain dari Malaikat.
Ada juga yang berkata ia melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.
Ada pula yang berkata doa permohonannya makbul.
Imam Tabari memilih qaul yang menegaskan bahawa semuanya itu tidak lazim dan tidak semestinya ia dapat melihatnya kerana tidak disyaratkan melihat sesuatu atau
mendengarnya untuk menemui malam Lailatul Qadr
ihsan: spi bpk
Tiada ulasan:
Catat Ulasan